Bandar Baru Permyjaya terus dimajukan

Laluan empat lorong, sekolah rendah dicadangkan bagi imbangi peningkatan populasi
MIRI: Masalah kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh penduduk di Bandar Baru Permyjaya di Jambatan Pujut 7 dijangka selesai apabila jalan satu lorong itu ditukar kepada lorong berkembar pada tahun ini.

Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan, Lee Kim Shin berkata, beliau sudah berbincang dengan pihak pemaju perumahan di Permyjaya, Naim Cendera Sdn Bhd dan dimaklumkan bahawa laluan berkembar itu dijangka direalisasikan tahun ini.

“Setakat ini sebanyak 15,000 rumah telah disiapkan dan kebanyakkannya berpenghuni dengan jumlah populasi kira-kira 75,000. Jumlah ini termasuk kawasan perumahan seperti Tudan dan Desa Senadin dengan jumlah keseluruhan lebih 100,000.

“Justeru laluan satu lorong tidak mampu menampung jumlah pengguna jalan raya yang sudah meningkat. Keadaan ini menyebabkan laluan dari bulatan Pujut 7 ke Permyjaya mengalami kesesakan lalu lintas yang serius terutama waktu puncak,” katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Naim Cendera di rumah contoh Alyssa,Permyjaya semalam.

Hadir sama ialah bakal datuk bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM), Lawrence Lai dan naib presiden Naim Cendera, Vincent Kueh.

“Apabila siap nanti, laluan berkembar ini menyediakan empat lorong iaitu masing-masing dua menuju ke Permyjaya dan Pujut 7. Ini akan mengatasi masalah kesesakan di kawasan berkenaan,” ujar beliau.

Dalam perkembangan lain, Lee berkata kawasan perumahan Permyjaya memerlukan dua lagi sekolah rendah bagi menampung keperluan penduduk yang terus meningkat.

Setakat ini empat buah sekolah rendah di kawasan perumahan iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tudan, SK Senadin dan SK Tudan.

“Saya sudah bercakap dengan Jabatan Pendidikan mengenai perkara ini dan sekolah itu akan dibina apabila permohonan itu diluluskan,” katanya sambil menambah Permyjaya turut menempatkan dua institut kemahiran dan dua buah sekolah menengah.

Sementara itu Lee berkata, Permyjaya memerlukan sebuah unit balai polis bagi meningkatkan tahap keselama-tan di kawasan perumahan itu.

“Sejajar dengan pertambahan populasi penduduk, kawasan ini memerlukan unit kecil balai polis yang bertanggunjawab menjaga keselamatan di kawasan perumahan Permyjaya, Tudan dan Desa Senadin,” katanya.

Setakat ini dua pondok polis didirikan masing-masing di E-Mart (Tudan) dan Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Tudan.

Dalam pada itu, Vincent memberitahu sebuah gedung membeli-belah meliputi keluasan lapan ekar sudahpun dibina di tengah-tengah bandar baru Permyjaya.

“Setakat ini perancangan membuka gedung itu sudah di peringkat akhir iaitu memilih penyewa yang sesuai. Ia mempunyai keluasan 100,000 kaki persegi dan mempunyai tempat makan,” katanya.

(Taken from Borneo Post)