Tarik pelancong asing

Kementerian Pelancongan sasar lebih ramai pelancong China, Eropah dan Australia lawat S’wak
KOTA SAMARAHAN: Kementerian Pelancongan tetap memberi tumpuan kepada promosi menarik lebih ramai pelancong asing ter-utamanya dari China, Eropah dan Australia datang ke negeri ini.

Timbalan Menteri Pelancongan Dato Sri Sulaiman Abdul Rahman Taib memberitahu para pelancong dari negara-negara terbabit lebih gemar melancong ke Malaysia kerana perbelanjaan di sini agak berpatutan.

Selain itu, katanya, infrastruktur pusat peranginan dan destinasi pelancongan menarik mampu memberi ke-puasan dan keseronokan kepada mereka.

“Kita akan terus menawarkan pakej pelancongan dan memberi tumpuan khusus kepada negara-negara seperti China, Eropah dan Australia untuk promosi menarik lebih ramai pelancong ke sini tahun depan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan kunci surau Desa Ilmu di sini semalam, Sulaiman berkata industri pelancongan wilayah akan terus dipertingkat dan diberi perhatian khusus.

Sulaiman menarik perhatian, pelancong dari Eropah dan Amerika Syarikat gemar melancong ke sini kerana perbelanjaan mereka lebih murah berbanding di negara-negara lain.

“Jika mereka (pelancong) berbelanja melancong dua atau tiga hari di sana… tetapi di sini (Malaysia) mereka boleh tinggal dua atau tiga minggu,” katanya.

Sulaiman menjelaskan, untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke sini kita perlu meningkatkan industri pelancongan terutama pakej produk pelancong menarik.

Justeru, katanya rakyat Sarawak harus merebut peluang untuk mempromosikan pelbagai produk menarik yang mampu menambat hati para pelancong asing untuk datang ke sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Sulaiman berharap penduduk setempat menggunakan sebaik mungkin surau berkenaan agar dapat merapatkan hubungan dan kerjasama sesame mereka.

“Saya difahamkan surau baru Desa Ilmu ini adalah sumbangan pelbagai pihak termasuk Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan pemaju Naim Cendera.

“Justeru, imarahkanlah surau ini dengan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada masyarakat,” katanya.

Hadir sama Residen Baha-gian Samarahan Dr Sulaiman Husaini, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Datu Misnu Taha, Pengerusi Desa Ilmu Datu Salleh Sulaiman dan Pengarah Eksekutif Kanan Naim Cendera Holding Sdn Bhd Suyanto Osman.

(Taken from Borneo Post)